Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI)
KENYATAAN AKHBAR Y.BHG. TAN SRI DATO’ ALIMUDDIN HJ. MOHD DOM, KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
PELAKSANAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P) SAINS DAN MATEMATIK
BAGI SEKOLAH RENDAH DAN SEKOLAH MENENGAH
Kenyataan akhbar ini bertujuan
menerangkan dengan lebih jelas kepada masyarakat mengenai pemansuhan
PPSMI dan pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan
penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Berdasarkan keputusan Mesyuarat
Kabinet pada 8 Julai 2009 telah diputuskan bahawa dasar PPSMI akan
dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun
4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos
2009 telah bersetuju melaksanakan mekanisme “soft landing” untuk
P&P Sains dan Matematik bagi membantu pelajar-pelajar mengatasi
masalah peralihan dasar berkenaan. Mekanisme “soft landing” adalah
seperti berikut:
(i) P&P Sains dan Matematik
boleh dilaksanakan dalam dwibahasa mulai tahun 2010 di sekolah rendah
dan sekolah menengah. Dwibahasa bermaksud penggunaan Bahasa Malaysia dan
Bahasa Inggeris dalam P&P Sains dan Matematik di sekolah
kebangsaaan dan sekolah menengah; dan penggunaan bahasa ibunda dan
Bahasa Inggeris bagi SJK(C) dan SJK(T).
(ii) Pelaksanaan dasar ini bermula pada tahun 2012 bagi pelajar-pelajar Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.
Walau
bagaimanapun mekanisme “soft landing” akan memberi ruang kepada
pelajar-pelajar lain menyesuaikan diri dengan peralihan dasar di mana
P&P boleh dilaksanakan dalam dwibahasa. Kohort-kohort yang terlibat
adalah seperti berikut:
(a) Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.
(b) Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015.
(c) Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2016.
(d) Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2013.
(e) Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.
(f) Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015.
PENTAKSIRAN
(a) Peperiksaan UPSR bagi matepelajaran Sains dan Metematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2016.
(b) Peperiksaan PMR bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehinggan tahun 2013.
(c) Peperiksaan SPM bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2015.
Ini
bermakna penggunaan Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa
ibunda bagi SJK(C) dan SJK(T) bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik akan dilaksanakan sepenuhnya dalam pengajaran dan
pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah menengah akan terlaksana
pada tahun 2016. Walau bagaimanapun pengajaran Sains dan Matematik bagi
Tingkatan 6 dan Matrikulasi akan kekal dalam Bahasa Inggeris.
Jadual Pelaksanaan MBMMBI dan mekanisme “soft landing” adalah seperti yang dilampirkan.
“Memartabatkan Bahasa Malaysia dan
Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan
bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian
daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara
kita.
Kementerian Pelajaran sedang melakukan
persiapan untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaik mungkin tanpa
menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar yang akan terlibat dalam proses
transisi pada tahun 2012 nanti.
Satu pendekatan soft-landing akan
diambil untuk memastikan pencapaian pelajar-pelajar yang sedang
mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di bawah dasar
PPSMI tidak akan terjejas.
Pihak Kementerian juga telah
membentuk enam Jawatankuasa Kecil sebagai persiapan untuk melaksanakan
dasar baru ini. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memperincikan
aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, lojistik, personel
dan penerangan. Melalui kefahaman, sokongan dan usaha berterusan seluruh
warga pendidik dalam menjayakan dasar baru ini, kita akan dapat
mencapai matlamat menambahbaik kualiti pendidikan di negara kita secara
berterusan demi kepentingan masa depan negara.
Rasional
• Penggunaan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar pengajaran Sains dan Matematik di
sekolah rendah dan menengah menghakis kepentingan bahasa Malaysia
sebagai bahasa ilmu dalam bidang tersebut.
• Penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar telah mantap bagi semua mata pelajaran yang dimulakan sejak tahun 1970an.
• Kebanyakkan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu.
Pelaksanaan
• Bermula dengan Tahun Satu, Tahun
Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat. Pada masa yang sama Bahasa
Cina digunakan di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT
• Perubahan tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi
• Perubahan sepenuhnya mengambil masa selama 3 tahun
• Bermula pada tahun 2012
• Peperiksaan SPM Sains dan Matematik dalam dwi bahasa sehingga 2015
Strategi Meningkatkan Penguasaan Bahasa Inggeris
• Menyediakan guru BI yang mencukupi
menerusi pengambilan guru bersara, guru dari luar negara dan IPTS
selain daripada pengambilan melalui IPGM dan IPTA
• Menyediakan guru BI di luar norma iaitu 2 orang guru bagi setiap kelas berenrolmen tinggi (contoh: melebihi 35 murid)
• Menyediakan bahan bacaan Bahasa Inggeris
• Memperkenalkan language arts dalam P&P Bahasa Inggeris
Strategi Memartabatkan Bahasa Malaysia
• P&P Sains dan Matematik dalam
Bahasa Malaysia di Tingkatan Satu hingga Lima di SMK dan SK manakala,
Bahasa Cina di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT
• Menambah waktu P&P Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT
• Menggunakan ICT dalam P&P Bahasa Malaysia
• Menyediakan bahan bacaan Bahasa Malaysia
• Memperkenalkan seni bahasa dalam P&P Bahasa Inggeris
Dasar MBMMBI Murid Tahun Satu Mulai 2011
Kerajaan sedang meneliti kemungkinan
untuk melaksanakan dasar baru iaitu memartabatkan bahasa Malaysia dan
memperkukuh bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid tahap satu mulai tahun
2011. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, murid
tahun satu yang baru memasuki persekolahan tidak terlibat dengan dasar
lama.
Tambah beliau lagi, perkara ini
bergantung kepada beberapa faktor antaranya bilangan guru yang
mencukupi, kesediaan kurikulum baru serta buku teks untuk mata pelajaran
sains dan matematik sekiranya ia dapat disiapkan pada akhir tahun 2010,
kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.
Menurut beliau, pelaksanaan dasar MBMMBI
bagi murid tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pula akan
bermula pada tahun 2012.
Langkah itu, katanya, adalah untuk
membolehkan Kementerian Pelajaran membuat persiapan rapi dengan
mengambil kira semua keperluan pengajaran dan pembelajaran disediakan
secara teratur.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga
menteri pelajaran menegaskan, kerajaan komited tidak akan kembali kepada
dasar pengajaran dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI) kerana dasar baru iaitu MBMMBI adalah selaras dengan
keperluan negara untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan.
Sumber : Kosmo online 21 oktober 2009
MBMMBI Mampu Bela Pelajar Tercicir
Keputusan kerajaan untuk mengkaji mempercepatkan pelaksanaan dasar
baru memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris
(MBMMBI) bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada
2012 mampu membela nasib pelajar sekolah rendah yang sebelum ini
keciciran berikutan subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa
Inggeris.
Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan
Idris (Upsi), Profesor Datuk Dr Zainal Kling, berkata pelaksanaan dasar
baru yang menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu tidak boleh dilengahkan lebih lama
kerana sejak PPSMI diperkenalkan enam tahun lalu, ia memberi kesan
negatif kepada pelajar sekolah rendah terutama di luar bandar.
Akhbar melaporkan keputusan kerajaan
mengkaji mempercepatkan pelaksanaan MBMMBI bagi murid Tahun Satu mulai
2011, berbanding cadangan asal pada 2012.
Muhyiddin yang juga Menteri
Pelajaran bagaimanapun berkata, pelaksanaan lebih awal itu bergantung
kepada beberapa faktor termasuk bilangan guru yang mencukupi, kesediaan
kurikulum baru serta buku teks untuk Sains, Matematik dan Bahasa
Inggeris yang perlu disiapkan akhir tahun depan.
Zainal berkata, pelaksanaan
pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu tidak memberi banyak
masalah kerana ia pernah dilaksanakan sebelum PPSMI diperkenalkan.
Sementara itu, Ketua Dua Gabungan
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof Datuk Dr Abdul Latiff
Abu Bakar, berkata keputusan kerajaan itu selaras dengan kehendak
pertubuhan itu yang mahu pelaksanaan dasar itu dipercepatkan.
Mereka juga ingin menggesa kerajaan
supaya dasar itu dilanjutkan pula di peringkat institusi pengajian
tinggi selain tidak mengabaikan usaha untuk memperkasakan bahasa
Inggeris. Selain itu, ucapan pemimpin negara dan papan tanda juga perlu
menggunakan bahasa Melayu.
Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPPSMI
(GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad turut menyokong dasar baru itu berharap
bahasa Melayu akan dijadikan teras utama dalam pembinaan gagasan
1Malaysia.
Sumber : Berita Harian